Sinopsis XX Ray II
Di Melaka, sebiji meteorit telah mendarat dan terhempas di suatu kawasan terpencil. Kejadian itu disaksikan oleh seorang penduduk kampung. Shima (kakak Amir), ialah seorang pemandu pelancong telah menyampaikan maklumat ringkas mengenai Hang Tuah dan zaman Kesultanan Melaka kepada pengunjung di Muzium Negara. Shima telah mempunyai teman lelaki, Johan yang merupakan seorang ahli sains kadet di Pusat Sains dan Teknologi Nasional (kini Pusat Sains Negara). Tiga tahun selepas menamatkan pengajiannya dalam bidang sains di universiti, Amir (adik Shima) kini bekerja sebagai ahli astronomi; dia dan kakaknya tinggal bersama di bandar selepas kematian ibu bapa mereka beberapa tahun yang lalu.
Di Pusat Sains, Shima dan Amir menuju ke makmal utama di mana Profesor Yeoh telah memperkenalkan peranti baharu yang dipanggil mesin pelupusan laser kepada para saintis yang hadir termasuk Johan. Ahli-ahli sains di Pusat Sains telah menggunakan tin minuman Coca-Cola sebagai eksperimen untuk menguji keberkesanan mesin pelupusan tersebut, pancaran laser itu membuatkan tin minuman itu hilang dalam sekelip mata. Profesor Yeoh yakin mesin tersebut ialah salah satu usaha untuk menghentikan pencemaran di negara ini menjelang tahun 2020.
Johan kemudian diberikan kredit atas peranti itu yang kononnya dicipta olehnya. Tina, rakan sekerja Johan yang juga ahli sains kadet di Pusat Sains, menafikan semua dakwaan yang dibuat oleh Johan. Apabila Tina mengambil kertas kerjanya di pejabatnya, Johan telah mengugutnya dan membakar kertas kerjanya, yang mana ia sepatutnya diserahkan kepada Profesor Yeoh. Tina kemudiannya disingkirkan daripada Pusat Sains. Johan dan Shima makan malam di sebuah restoran pada malam itu yang mana hujan turun dengan lebat. Tina kemudian bertemu dengan Amir di rumahnya dan menceritakan segalanya kepadanya mengenai Johan, Profesor Yeoh dan mesin pelupusan laser. Kemudian, Amir mengkaji kemungkinan bahawa asteroid akan berlanggar dengan satelit geostesen di orbit.
Johan tidak terus menghantar Shima pulang ke rumah sebaliknya membawanya ke sebuah tempat yang sunyi dan kemudian cuba melakukan persetubuhan dengan Shima dalam keretanya, namun dia telah menerima panggilan telefon daripada salah seorang pengawal keselamatan di Pusat Sains. Tina dan Amir menuju ke makmal utama dan mencari kod akses ke zon memori bagi melupuskan laser pelupusan. Sewaktu mencuba untuk membuka kod akses itu, Tina dan Amir telah ditangkap oleh Johan dan sekumpulan pengawal keselamatan Pusat Sains. Amir meminta Johan supaya menghapuskan mesin pelupusan itu, namun tidak dipedulikan oleh Johan.
Sewaktu berebut senjata yang dimiliki oleh salah seorang pengawal keselamatan Pusat Sains, Amir, Johan, Shima dan Tina telah ‘dilupuskan’ oleh mesin pelupusan. Mereka dibawa ke jurang perjalanan masa dan memasuki era tamadun kesultanan Melaka, di bawah pemerintahan Sultan Mansur Shah. Mereka turut menjadi saksi kepada persengketaan bersejarah antara Hang Tuah dan Hang Jebat di mana Hang Tuah berjaya merampas keris Taming Sari. Amir cuba mengubah sejarah dengan menahan Hang Tuah dari membunuh Hang Jebat, tetapi usahanya gagal. Amir, Johan, Tina dan Shima telah dianggap sebagai penceroboh dan dihadapkan kepada Sultan Mansur Shah.
Sultan Mansur Shah mengarahkan Datuk Bendahara supaya merobohkan istana lama yang dicemari oleh Hang Tuah dan orang-orangnya dan membina istana baharu. Baginda kemudian mengarahkan supaya menghukum Amir, Johan, Shima dan Tina kerana didapati bersubahat dengan Hang Tuah. Amir dan Johan dikurung manakala Shima dan Tina telah dijadikan hamba. Acara tarian tradisional Melaka diadakan pada malam itu, dihadiri oleh Sultan Mansur Shah, Guntur dan Sri Bayu. Sri Bayu dan Guntur merancang untuk mendapatkan keris Taming Sari dan menghalang pengaruh Hang Tuah. Sri Bayu berbuat demikian kerana ingin menuntut bela atas kematian abangnya, Karma Wijaya.
Shima dan Tina diperintahkan untuk mandi bunga. Selepas dikurung selama sehari, Amir dan Johan kemudian diikat di atas rakit dan dibawa ke arus deras. Mereka berdua menjerit meminta bantuan namun tidak dipedulikan oleh penduduk kampung. Apabila mengetahui terdapat air terjun, Amir dan Johan menyelamatkan diri masing-masing dalam keadaan panik. Johan melarikan diri ke hutan dan menemui sebuah rumah besar. Amir pula dibawa ke rumah Hang Tuah. Mengetahui dirinya lapar, Johan mendapatkan makanan, namun ditangkap oleh Guntur dan Sri Bayu. Sultan Mansur Shah dan orang-orangnya (termasuk Hang Tuah) pergi memburu rusa, namun cubaan mereka gagal kerana Baginda mengalami kecederaan.
Tina dibawa bertemu dengan Amir oleh Hang Tuah, namun gerak-geri mereka diperhatikan dari jauh oleh Guntur. Amir dan Tina mula merancang sesuatu untuk kembali ke zaman moden. Mereka berdua mula mencipta peranti berhampiran sungai untuk membolehkan mereka pulang.
Baginda Sultan Mansur Shah menyaksikan persembahan tarian tradisional Melaka. Shima dibawa bertemu dengan Baginda selepas tamat persembahan dan Baginda terhibur dengan persembahannya. Baginda kemudian melamar Shima sebagai isterinya dan meminta Mak Dayang menghebahkan kepada seluruh rakyat Melaka bahawa Baginda ingin berkahwin dengan Shima.
Orang kanan istana telah menghebahkan kepada seluruh rakyat Melaka mengenai perkahwinan Sultan Melaka dengan Shima dan baginda akan mengadakan majlis selama 40 hari 40 malam serta menjamu seluruh rakyat Melaka.Johan yang turut mendengar hebahan tersebut merasa tidak berpuas hati dan mengamuk sebaik sahaja pulang ke rumah Seri Bayu. Seri Bayu cuba menipu Johan bahawa kononnya Hang Tuah juga turut menaruh hati kepada Shima. Johan cuba mengatakan bahawa Shima adalah kekasihnya namun Seri Bayu telah ‘mengunci’ mulut Johan dengan sekeping besi sakti dan memanggil Guntur lalu memberitahunya mengenai perancangannya untuk menggulingkan Sultan Mansor Shah dan menabalkan dirinya sendiri sebagai Raja Melaka.Guntur lalu mencuba memberikan sembah kepada Seri Bayu lalu Seri Bayu memujinya manakala Johan cuba membuka besi sakti yang melekat di mulutnya.
Keesokan harinya, Amir dan Tina berjaya menyiapkan peranti untuk membolehkan mereka pulang dan berjaya menghubungi Profesor Yeoh di Pusat Sains. Profesor Yeoh memberitahu Amir dan Tina bahawa mereka hanya mempunyai 36 jam sahaja untuk segera pulang kerana satelit geostesen akan tersasar dari orbit menjelang waktu senja. Tina kemudian meminta Hang Tuah supaya mencari Johan dan Shima. Amir dan Tina menyamar sebagai penjual kain dengan tujuan untuk menyelamatkan Johan dan Shima. Mereka berdua berjaya menemui Shima, namun telah ditangkap oleh Sultan Mansur Shah. Mereka kemudian berjaya melepaskan diri dengan terjun ke dalam sungai. Sultan Mansur Shah memerintahkan Hang Tuah dan keturunannya supaya keluar dari Melaka dan menyerahkan kembali keris Taming Sari.
Sri Bayu berjaya mendapatkan keris Taming Sari dan mengugut Sultan Mansur Shah. Sri Bayu bertindak menghukum Baginda dan rakyatnya supaya tunduk kepadanya.Johan yang telahpun dibuka besi sakti di mulutnya dan memakai sepersalinan yang cantik telah menemui Shima di kamarnya lalu menekup mulutnya. Shima terkejut dengan keberadaan Johan yang masih hidup.Johan lalu memberitahu bahawa dia telah dilantik sebagai penasihat kepada Sultan dan Melaka telahpun mempunyai Sultan yang baru.Pada mulanya Johan enggan memberitahu siapakah yang menjadi sultan yang baru itu namun setelah didesak Shima,Johan akhirnya memberitahu bahawa Seri Bayu yang menjadi Sultan Melaka yang baru.
Amir dan Tina pula mencari Johan dan Shima, namun ditahan oleh Guntur yang meminta mereka berdua pergi menghadap Sultan.Amir dan Tina telah dipertemukan kembali dengan Shima manakala Johan kemudiannya tiba dan cuba menuju ke hadapan Sultan atas alasan dia adalah orang kanan Sultan tapi dihalang dan ditolak ke belakang oleh pengawal istana. Seri Bayu kemudian berterima kasih kepada Amir, Johan, Shima dan Tina kerana mereka, Sri Bayu berjaya menakluki Melaka.Shima meluahkan rasa kesalnya atas apa yang berlaku.Johan cuba menenangkan Shima namun Shima menepis dan menyuruh Johan diam.Seri Bayu menempelak Shima dan mengatakan dia tidak berhak untuk menasihatinya bagaimana untuk mencorakkan kerajaannya sendiri. Johan cuba menasihati Shima supaya memberikan kerjasama namun Seri Bayu sekali lagi mengunci mulut Johan dengan besi sakti yang sama lalu memerintahkan mereka berempat dibebaskan.Johan cuba memberi isyarat supaya besi sakti di mulutnya dibuka namun terus diusir keluar oleh para pengawal istana serta tidak dihiraukan Seri Bayu.
Di Pusat Sains, para saintis telah membuat persiapan awal bagi membolehkan Amir, Johan, Shima dan Tina segera pulang. Tina berhubung dengan Profesor Yeoh mengenai keadaan mereka berempat, Johan duduk di tepi sungai sambil berusaha membuka besi sakti yang kuat melekat di mulutnya manakala Amir dan Shima berbincang mengenai keadaan masa depan. Hang Tuah pergi mencari Sri Bayu dan menuduhnya mengkhianati negeri Melaka dan Sultannya. Mereka berdua bertarung habisan-habisan bagi merebut kuasa.
Amir, Johan, Shima dan Tina bersiap untuk pulang. Amir memberikan topi Batmannya kepada Hang Tuah dan Hang Tuah pula memberinya tanjak. Akan tetapi, Shima mula bertanya keberadaan Sri Bayu. Tanpa disedari oleh Shima, Sri Bayu berada di belakangnya dan mengelar lehernya. Hang Tuah membalas dendam dengan menikam Sri Bayu, lalu menyebabkan Sri Bayu terus lenyap. Hang Tuah terus merawati luka di leher Shima dengan kuasa sakti keris Taming Sari. Amir sempat berpesan kepada Hang Tuah dengan frasa “takkan Melayu hilang di dunia”. Mereka berempat selamat pulang ke zaman moden dan kembali ke Pusat Sains. Profesor Yeoh gembira melihat keadaan mereka berempat lalu melihat Johan yang mulutnya masih dilitupi besi sakti Seri Bayu lalu bertanya apa yang terjadi padanya.Johan cuba menceritakan namun tiada siapa yang faham apa yang dikatakannya lalu Shima mencelah dan bertanyakan Profesor Yeoh adakah dia mengetahui tentang sejarah Melaka. Profesor Yeoh mengakui bahawa dia adalah orang Melaka dan sangat mengetahui akan sejarah Melaka. Tidak lama kemudian, mesin pelupusan laser tersebut meletup dan musnah. Tina lalu memberitahu Profesor Yeoh bahawa dia berhasrat untuk mencipta mesin pelupusan laser yang kalis kepada manusia. Johan cuba mencelah namun Profesor Yeoh menyuruh Johan diam lalu memecatnya dari Pusat Sains. Profesor Yeoh lalu membawa Amir, Shima dan Tina minum teh tarik, meninggalkan Johan sendirian. Kedengaran suara Seri Bayu mengilai ketawa dari mesin laser yang telah musnah.
Pelakon XX Ray II
Aziz M. Osman, Lydiawati, Ida Nerina, Jalaluddin Hassan, Osman Kering, Azmil Mustapha