Sinopsis Ayahanda
Mengisahkan tentang Haji Abdullah, seorang Tok Imam, juru nikah dan mengajarkan kitab di surau yang berusia lebih daripada 100 tahun. Surau itu kemudian dibina semula setelah dilanda ribut yang hampir meragut nyawa Haji dan isterinya, Hajah Noriah ketika itu.
Haji Abdullah dilihat sebagai seorang imam tua yang degil dan mahu mempertahankan semua jawatannya di masjid kampungnya. Walaupun Haji Abdullah sudah tidak diterima oleh masyarakat kerana kaedah pengajaran dan kitabnya yang dianggap lapuk tetapi beliau tetap melunaskan tanggungjawabnya. Hanya Hajah Noriah yang masih setia dan sentiasa memberikan sokongan padu kepada suaminya. Di kampung, seorang imam baharu telah dilantik iaitu Ustaz Hamidi, 20-an dan lulusan Al-Azhar, Mesir. Jemaah pun semakin ramai di masjid. Haji Abdullah tercabar dan tetap mahu menjadi imam.
Haji Abdullah dan Hajah Noriah mempunyai 4 orang anak iaitu Halimah (Noorkhiriah), Ramli, Ahmad dan Aziz. Halimah, anak sulung yang tinggal di belakang rumah Haji sering diharapkan oleh adik-beradiknya untuk menjaga ibu bapa mereka. Halimah juga terpaksa bersabar dengan perangai suaminya, Mat Diah yang terlalu taksub dengan pertandingan suara burung.
Ramli, anak kedua Haji Abdullah pula sibuk berulang-alik menghantar Piah, isterinya ke kampung asalnya kerana emaknya sakit. Manakala, Ahmad, anak ketiga yang mahu menambah pendapatan dengan mengusahakan kebun sayur di kaki bukit. Isteri Ahmad, Hasnah, telah meninggal dunia bersama anak ketiganya semasa bersalin. Hajah Noriah dan Halimah sentiasa cuba mencarikan jodoh baharu untuk Ahmad tetapi Ahmad belum bersedia.
Aziz, anak bongsu Haji Abdullah bekerja sebagai juru teknik di sebuah kilang dan minat penulisan. Isterinya, Mazni lebih mementingkan kesenangan diri dan mula mengambil kesempatan atas kesibukan suaminya yang mahu menjaga orang tuanya, anak mereka dan juga menyiapkan penulisannya.
Haji Abdullah mahukan sokongan anak-anaknya untuk dia meneruskan tanggung jawabnya sebagai imam, namun semua anak-anaknya tidak berpihak kepadanya membuatkan Haji Abdullah terasa hati. Aziz yang menjadi harapan Haji Abdullah juga menentang hasrat ayahnya lebih-lebih lagi hubungan mereka pernah terpalit dengan sejarah lampau yang merenggangkan hubungan mereka berdua. Sikap degil dan ego Hj Abdullah menyebabkan dirinya dilanda sepi dan tiada siapa yang peduli.
Terleraikah kesepian hati seorang ayah dan dapatkan anak-anaknya memahaminya? Dapatkah anak-anak Haji Abdullah menebus kelemahan mereka yang sudah mengabaikan hati seorang ayah? Mengertikan mereka tentang pengorbanan seorang ayah?
Pelakon Ayahanda
Jalil Hamid, Fauziah Ahmad Daud, Fikry Ibrahim, Noorkhiriah, Shahz Jaszle, Rita Nadira, Hairi Safwan, Sherry Ibrahim, Mimi Ernida, Anuar Hamizan, Sobri Anuar, Nurmiziana Rosli
Drama Ayahanda
Jumlah Episod: 13
Tarikh: 10 Julai 2021
Hari: Rabu-Sabtu, 9:00 malam
Siaran: Slot Lestary TV3