Sinopsis XX Ray
Pada suatu malam, sebutir tahi bintang telah mendarat ke Kuching, Sarawak dan terhempas di sebuah kawasan penempatan masyarakat Iban. Ini membuatkan mereka terkejut setelah melihat tahi bintang yang terhempas, namun tidak pedulikan tentang peristiwa itu. Amir, Annuar, Aishah dan Zulina ialah mahasiswa universiti yang menyambung pelajaran mereka dalam bidang sains. Amir, yang sangat meminati astronomi, telah membaca akhbar Utusan Malaysia mengenai kejadian meteorit terhempas di Sarawak, lalu mencari sumber-sumber bacaan mengenai meteorit di perpustakaan. Karim, anak kepada seorang hartawan kaya dan pelajar senior, membuat rancangan jahatnya untuk memisahkan Amir dan Aishah. Amir dan Annuar bertapa di bangsal mereka yang dijadikan sebagai ‘balai cerap’ di mana mereka meluangkan masa melihat bintang di langit sambil berbincang mengenai hal berkaitan alam semesta.
Mereka berdua berkunjung ke Kuching, Sarawak dan bertemu dengan bapa saudara Annuar, Ismail yang merupakan kurator Muzium Sarawak. Sambil dalam perjalanan ke muzium, Ismail memberi penerangan kepada Amir dan Annuar mengenai keunikan negeri Sarawak. Setibanya mereka di muzium, mereka berdua berlegar-legar di sekitar muzium. Amir melihat sendiri meteorit yang dipamerkan di muzium itu dan mahukan serpihan batu itu untuk membuat kajian terperinci. Beragas dan Kublai kelihatan memerhatikan gelagat mereka sambil berhajat ingin mendapatkan serpihan meteorit. Amir, Anuar dan Ismail berkunjung ke Sibu dan menuju ke perkampungan Iban di mana mereka ingin melihat sendiri lokasi di mana meteorit itu terhempas. Mereka bertiga menuju ke lokasi itu pada keesokan harinya, namun Beragas dan Kublai cuba mengambil kesempatan. Semasa membuat kajian di kawasan hutan di mana meteorit itu terhempas, Amir terserempak dengan Tok Binjai, yang mengasingkan diri akibat satu penyakit yang dihidapi.
Amir menuju ke gua dan bertemu dengan Tok Binjai dan Ismail, sementara Annuar pula berpusu-pusu mencari mereka. Mereka berdua terkejut setelah melihat perubahan pada Tok Binjai yang telah pulih dari kecacatan kalung yang mengandungi serpihan meteorit yang dipakainya. Beragas dan Kublai datang bersama-sama Annuar yang dijadikan tebusan. Mereka berdua berjaya mengambil kalung tersebut namun dirampas oleh pengikut-pengikut Tok Binjai. Seminggu kemudian, Amir dan Annuar pulang ke Kuala Lumpur. Amir terus bergegas ke bangsalnya dan mencipta sebuah peranti baru, namun tidak mahu menerima kunjungan daripada Annuar, Zulina dan Aishah. Dia berjaya mencipta peranti tersebut dan mencubanya sendiri. Keesokan harinya, Amir memanggil mereka bertiga dan menunjukkan peranti baru, yang diberi nama XX Ray kepada rakan-rakannya. Annuar mencuba peranti tersebut dan terkejut apabila melihat Karim dan dua rakannya merokok dalam tandas. Karim ditangkap oleh polis.
Annuar kemudian telah membawa keluar topi XX Ray tanpa pengetahuan Amir dan membawanya ke sebuah kelab malam. Amir mendapati topinya telah hilang, dan terus mencari Annuar. Annuar menuju ke kelab malam dan membuat ‘tinjauan’ di situ. Karim dan konco-konconya yang telah dikenakan tindakan tata tertib, membalas dendam terhadap Amir dan Annuar. Amir tiba ke kelab dan mendapatkan semula topinya. Amir dan Annuar melarikan diri, namun berjaya ditangkap oleh Karim dan konco-konconya. Mereka berdua dibelasah, dan Amir mula mengalami kesan sampingan daripada topi XX Ray, lalu menjadi halimunan. Karim dan rakan-rakannya berjaya melarikan diri. Pada esok harinya, So’ud, mengambil topi XX Ray setelah dikejutkan dengan suara ghaib Amir. Amir menyalahkan Annuar kerana membawa keluar topinya tanpa kebenarannya, lalu menunjukkan perubahannya kepada Annuar, yang pengsan setelah mengetahui Amir menjadi ‘hantu’. Annuar menceritakan perkara sebenar kepada Aishah dan Zulina semasa makan di restoran McDonalds, namun mereka pada mulanya tidak percaya. Aishah dan Zulina menziarahi Amir dan Annuar di bangsal mereka, dan terkejut melihat keadaan Amir.
Aishah meraikan ulang tahunnya ke-20 dengan partinya berkonsepkan ‘masquerade’. Amir dan Annuar turut hadir meraikannya. Karim bersama dua rakannya, hadir tanpa dijemput cuba mengambil kesempatan terhadap Amir dengan berniat untuk memalukannya, yang mengakibatkan Amir pengsan setelah meminum air yang dicampur dengan ubat tidur. Selepas parti berakhir, Amir menunjukkan keadaan fizikalnya yang ghaib, mengejutkan Aishah dan Zulina. Esok harinya, Profesor Amin terkejut dengan keadaan Amir dan meminta anak-anak buahnya mencari batu meteorit untuk membuat kajian. Annuar, Aishah dan Zulina mencari topi XX Ray yang telah diambil oleh So’ud, namun dibeli oleh seorang lelaki. Mereka berjaya merampasnya daripada lelaki itu dan pulang ke kampus universiti, terus bertemu dengan Profesor Amin. Beragas terdesak mahukan batu meteorit untuk menjadikannya tinggi, dan merosakkan kelengkapan makmal, menyebabkan Profesor Amin pengsan. Beragas berjaya mendapatkan batu itu dan permintaannya dipenuhi apabila dia menjadi tinggi. Bagaimanapun, Beragas bertukar menjadi kecil.
Beragas dan Kublai mengejar mereka, sementara Karim mengheret Aishah keluar dari kampus. Mereka terdengar bunyi dengungan dari langit, dan UFO kelihatan di perkarangan kampus. Makhluk UFO datang untuk mengambil kembali batu meteor yang dipinjamkan dan menyampaikan taklimat ringkas sebelum berangkat pulang. Beragas kembali ke rupa fizikal asalnya, namun dia bersama Kublai dan Karim mengeras. Amir kembali ke dunia nyata. Annuar teruja melihat keadaan Karim, Beragas dan Kublai yang mengeras selama 12 jam. Keesokan harinya, setelah Annuar membuat kiraan; Karim, Beragas dan Kublai mula sedar dan mereka terkejut kerana berpakaian wanita, lalu menjadi bahan ketawa siswazah universiti.
Pelakon XX Ray
Aziz M. Osman, Faizal Hussein, Nor Aliah Lee, Sharmaine Farouk, Ibrahim Pendek, Edika Yusof, Bibiyana Loyola, S. A. Bakar, Shaharuddin Thamby, Esma Daniel, Mazlan Kamal, Koo Chee Sing, Syanie, Osman Kering, Ebby Yus, Jaafar Onn, Erma Fatima, Malek Noor