Filem2020sTonton

Filem Tumpat Berdarah (2023)

Filem Tumpat Berdarah akan ditayangkan pada 6 September 2023 di tonton.

Sinopsis Tumpat Berdarah

Perebutan kuasa perniagaan padi dan beras di daerah Tumpat, Kelantan, telah mencetuskan permusuhan antara Wan Nawang Kelaboran dan Mat Tok Kaya Sg Pinang. Permusuhan antara dua tokey kilang padi ini telah sampai kemuncak pada tahun 1961.

Kilang padi Mat Tok Kaya Sg Pinang telah dimamah api. Dentingan parang dan kelewang mengisi ruangan malam tersebut. Kilang padi Wan Nawang Kelaboran juga terbakar. Keesokan harinya, kedua-dua individu besar ini telah ditangkap.

Mara ke tahun 2020, semangat permusuhan masih berlanjutan ke generasi baharu. Wan Nawi, cucu Wan Nawang, meneruskan legasi menjaga kilang padi bersama adiknya, Wan Zaki. Selain itu, Wan Nawi juga merupakan seorang tukang karut dikir barat. Dia berdikir bersama kumpulan dikir Seri Tumpat.

Nuari Benang Emas pula merupakan cucu Mat Tok Kaya. Dia adalah seorang tukang karut di Sungai Pinang. Kilang padi datuknya telah dijual oleh arwah ayahnya, Cik Latip, kerana kecewa dan marah dengan kejadian kebakaran yang berlaku hampir 60 tahun lalu.

Kedua-dua Wan Nawi dan Nuari Benang Emas mempunyai guru tukang karut yang sama iaitu Nik Dir.

Selain reputasinya sebagai tukang karut yang ternama, Nik Dir juga merupakan orang kuat dalam Yayasan Anak Tumpat. Dia dianggap sebagai pemimpin masyarakat. Dari usianya yang muda, dia telah menjadi tempat luahan bagi kedua-dua keluarga yang bermusuhan itu. Usahanya untuk mendamaikan mereka masih tidak berjaya.

Wan Zaki pula merupakan jejaka berusia akhir 20-an yang meminati sastera dan budaya. Percintaannya dengan Anis, adik kepada Nuari Benang Emas, telah menyemarakkan api permusuhan yang telah lama membara.

Saksikan perkembangan permusuhan dua keluarga ini yang disulami kisah cinta yang tidak mendapat restu.

Pelakon Tumpat Berdarah

Sabri Yunus, Z Zamree, Oktovia Manrose, Asrul Faizal, Muhamad Zaidi Yunus, Mathni Razak, Issey Fazlisham

Related Articles

Back to top button